ADUN pembangkang Kedah sokong kempen bendera putih

Iklan
Kesemua 13 ADUN daripada pembangkang di negeri ini menyokong kempen mengibarkan bendera putih bagi membantu mereka yang terputus bekalan makanan. - Gambar hiasan

ALOR SETAR - Kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang di negeri ini menyokong kempen mengibarkan bendera putih bagi membantu mereka yang terputus bekalan makanan.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka sepakat akan membantu menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 agar keperitan rakyat tidak terus melarat.

Iklan
Iklan

"Kami berasa lega dan bersyukur apabila rakyat sendiri bangkit menggerakkan kempen kibar bendera putih. Ini menunjukkan adanya simpati dalam kalangan masyarakat terhadap insan lain yang dihimpit kesusahan,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Kenyataan tersebut membabitkan dua ADUN daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jitra).

Iklan

Turut serta ialah empat ADUN daripada Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan), Datuk Dr Ismail Salleh (Pengkalan Kundor), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Alor Mengkudu) dan Salmee Said (Kota Siputeh).

Tidak ketinggalan lima ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Datuk Johari Abdul (Gurun), Simon Ooi Tze Min (Bakar Arang), Summugam Rengasamy (Bukit Selambau), Datuk Zamri Yusuf (Suka Menanti) dan Yeo Keng Chuan (Kulim).

Iklan

ADUN DAP pula membabitkan Tan Kok Yew (Derga) dan Teh Swee Leong (Kota Darul Aman).

Menurut kenyataan itu lagi, keluarga yang terdesak harus mengibarkan bendera putih di rumah bagi memudahkan pihak berwajib membantu segera tanpa sebarang kerenah birokrasi.

"Kami mendokong prinsip ‘Yang Condong Ditumpil, Yang Lemah Dianduh’. Kita saling membantu, biarpun sedikit tetapi besar maknanya kepada mereka yang menerima.

"Kita bersama dalam perjuangan ini. Marilah menghulurkan tangan meringankan beban keluarga yang ditimpa kesusahan tanpa dibayangi perbezaan kaum, agama dan kecenderungan politik,” ujar mereka.

Menurut mereka, setelah sekian lama negara ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19, kini ia semakin menekan kehidupan rakyat.

"Paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada upah harian, diberhentikan kerja, ibu tunggal dan warga emas terlantar uzur.

"Mereka berjuang untuk hidup. Hari demi hari bertambah sukar untuk menyara hidup sendiri dan keluarga. Entah berapa ramai ibu dan bapa sebak mendodoikan anak-anak kecil tidur dalam kelaparan. Kalau dapat makan telur dibelah lapan pun, mereka sudah bersyukur,” kata mereka.

Dalam kenyataan sama, Kesemua ADUN pembangkang menyelar kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak mengiktiraf inisiatif bendera putih, sebaliknya menyifatkan ia sebagai propaganda politik dan cubaan melabelkan kerajaan gagal.

"Kami harap beliau merenung kembali implikasi ke atas masyarakat. Adakah kesengsaraan hidup rakyat itu propaganda politik? Adakah kesusahan rakyat perlu dipolitikkan?

"Seorang pemimpin tidak harus angkuh, melaungkan retorik politik ketika rakyat sedang kelemasan. Berlapang dadalah menerima keikhlasan. Bukan kerajaan yang tampil korbankan tenaga, masa dan harta benda untuk menyelamatkan keluarga yang bergelut untuk hidup,” kata mereka.

Menurut mereka, inisiatif bendera putih juga membuka peluang untuk wakil kerajaan segera membantu keluarga yang terkesan.

"Janganlah terus menghukum mereka itu pembangkang dan tidak perlu dibantu walaupun layak menerima bantuan. Sebaiknya bantuan daripada semua pihak sama ada kerajaan atau wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang, badan-badan amal, swasta dan individu dapat meringankan beban rakyat yang susah,” kata mereka.

Mereka bagaimanapun akur sekiranya Muhammad Sanusi tidak bersetuju dengan pandangan bahawa usaha kerajaan setakat ini tidak efektif dan mengecewakan banyak pihak.

"Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat dan menjaga kebajikan mereka. Orang susah tiada pilihan, kita yang ada pilihan untuk menolong atau tidak. Kami pilih untuk menolong termasuk yang mengibarkan bendera putih,” ujar mereka.