SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi sidang video dari hospital pada Isnin.
Beliau yang masih dalam rawatan di hospital akibat masalah penghadaman berkata, mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara.
Menurutnya, ia termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur selain laporan pemantauan setiap negeri dalam fasa pemulihan negara.
"Alhamdulillah, selain lima buah negeri yang telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.
"Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Pada 4 Julai, Muhyiddin menerima rawatan di hospital di ibu negara akibat jangkitan pada sistem penghadaman.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keadaan Muhyiddin bagaimanapun stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa dalam rawatan.
Sementara itu, Muhyiddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai kerana tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini.
"Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh ALLAH,” ujar beliau.