KUANTAN – Aduan permasalahan jalan rosak yang sudah berlarutan di Bukit Ibam di sini, sejak dua tahun lalu sudah diajukan ke Putrajaya.
Penyelaras PH DUN Ibam, Zulkarnain Mohamad Ridzuan berkata, jalan yang terletak berhampiran loji air paip Sungai Aur Bukit Ibam itu dipercayai rosak akibat hakisan yang kemudiannya berlaku tanah runtuh.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan penduduk seperti meletakkan tanda amaran bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terhadap pengguna jalan tersebut.
"Lokasi jalan rosak tersebut terletak di antara laluan dari Muadzam menuju ke Ibam. Alhamdulillah Menteri Kerja Raya (Baru Bian) telah memberikan jaminan bahawa kerja pembaikan akan bermula April ini.
"Sebagai mewakili penduduk saya berasa senang hati dengan sambutan baik menteri yang menerima aduan kami ini.
"Ini kerana laluan tersebut merupakan laluan utama kegunaan penduduk termasuk lori bermuatan berat,” katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu Rompin.
Sehubungan itu beliau memaklumkan kepada penduduk dan pengguna agar memberikan kerjasama terhadap proses pembaikan jalan tersebut, April nanti.