KUALA LUMPUR -"Tiada mesyuarat malam ini, saya datang uruskan hal kerja dan gaji." Demikan kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika ditemui di pekarangan Menara Dato Onn, PWTC di sini petang tadi.
Pada Isnin, beberapa pemimpin tertinggi UMNO berada di Ibu Pejabat UMNO itu sejak tengah hari tadi dipercayai bagi membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil selepas berakhirnya tempoh 14 hari diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen.
Iklan
Iklan
Antara yang dilihat hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Media turut mendapati pengiring bermotosikal Polis Tentera berada di parkir Menara Dato Onn, PWTC itu dipercayai dinaiki oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setakat jam 4.30 petang, tidak kelihatan mana-mana pemimpin UMNO keluar melalui pintu utama namun pengawal keselamatan di lokasi berkenaan memaklumkan, kesemua pemimpin terbabit sudah meninggalkan bangunan tersebut.
Pada 21 Jun lalu, Biro Politik UMNO yang mengadakan mesyuarat secara maya membuat keputusan akan menarik diri daripada kerajaan sekiranya persidangan Parlimen tidak dipanggil oleh Perdana Menteri dalam masa 14 hari.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga memutuskan darurat mesti ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti.