PADAWAN - Maklumat seorang penghantar makanan dan penduduk Taman High Park di sini membawa kepada kejayaan polis memberkas dua tahanan terakhir yang lolos dari Pusat Transit Penerimaan (PTP) Penjara Puncak Borneo sejak lima hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, Mohamad Fikrry Azzarudin Abdullah, 26, dan seorang warganegara Indonesia Rahmat Simbolan, 38, berjaya ditahan pada kira-kira jam 2.30 petang pada Isnin ketika bersembunyi di kawasan paya berdekatan taman itu dengan hanya separuh kepala kelihatan semasa tangkapan.
Jaw Shyong berkata, ketika ditemui, tahanan terbabit berada dalam keadaan lemah dipercayai kekurangan makanan serta terdapat kecederaan di badan mereka yang dipercayai dialami semasa kedua-duanya bergerak dalam hutan pada waktu malam.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penghantar makanan dan penduduk taman itu pada kira-kira 10.30 pagi yang melihat kedua-dua suspek melintasi sebuah jalan di kawasan tersebut.
"Pihak polis dengan kerjasama ‘Tiger Platoon’ Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak, Unit K9 IPK Sarawak, Jabatan Penjara Puncak Borneo bersama Unit K9 mereka terus digerakkan ke kawasan terbabit yang membawa kepada penemuan kedua-dua tahanan itu,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Kedua-dua suspek, masing-masingnya tahanan kes jenayah pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama dengan dua lagi lelaki iaitu Diveni Bunby, 36, dan Bobin Bohan, 29, melarikan diri dari PTP Penjara Puncak Borneo pada kira-kira 5.11 petang 1 Julai lalu.
Bagaimanapun, Diveni dan Bobin berjaya diberkas semula oleh pasukan rondaan penjara pada kira-kira jam 6.25 petang dan 10.50 malam pada 2 Julai masing-masing di kawasan perkuburan Cina dan Lorong 10 di Kampung Sinar Baru, Padawan.
Pada hari kejadian, seramai 49 tahanan diletakkan di sebuah blok PTP di penjara itu bagi tujuan saringan ujian Covid-19 sebelum disahkan negatif untuk dimasukkan ke blok penjara.
Keempat-empat tahanan yang berjaya lolos dipercayai melarikan diri melalui sebuah tingkap di tandas blok PTP itu dengan mencungkil besi jeriji tingkap ketika hujan lebat serta angin kuat.
Mereka diserahkan semula kepada Penjara Puncak Borneo dan akan disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan sah yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama