PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tetap berbangga dengan semangat juang yang ditampilkan anak-anak buahnya sekalipun tewas 1-2 kepada Nagoya Grampus dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok pada Ahad.
Mora berkata, skuad Harimau Selatan menampilkan prestasi yang baik sehingga mampu mengimbangi kekuatan kelab dari Jepun itu yang kini berada di tangga keempat Divisyen Satu Jepun (J1 League).
"Saya amat gembira dengan semangat juang pasukan. Kami tidak merosot atau tunduk mengalah setelah dibolosi dengan jaringan dua gol.
"Kami sedar Nagoya adalah sebuah pasukan yang kuat. Kami tahu ia akan menjadi sangat sukar. Kami telah merehatkan beberapa pemain agar mereka dapat pulih untuk perlawanan seterusnya.
"Para pemain yang bermain telah memberikan persembahan yang sangat baik. Mereka mencuba sebaik mungkin, mereka memberi tekanan, mereka berlari serta mereka memiliki bola dan melaksanakan identiti kami," katanya.
Dalam aksi kelima Kumpulan G di Stadium Rajamangala itu, gol tunggal JDT hadir menerusi jaringan tunggal pemain muda, Ramadhan Saifullah Usman pada penghujung babak pertama.
"Saya rasa statistik akan menunjukkan kami menguasai dalam banyak situasi. Ia begitu sukar untuk melihat dua percubaan hanya mengenai palang, itu mungkin akan menjadi cerita yang berbeza.
"Tetapi pada saya untuk mengawal lebih kurang 55 minit permainan adalah pencapaian yang bagus bagi kami kerana corak, game plan kami berjaya dan kami hanya memerlukan dua jaringan gol untuk penutup yang baik.
"Tetapi ini adalah bola sepak dan ini akan mendorong pasukan untuk terus berjuang melawan Ratchaburi dengan segala yang kami ada supaya kami mendapat tiga mata," ujar Mora.