PENGETAHUAN dan pengalaman yang bakal diraih atlet pecut muda negara, Azreen Nabila Alias pada penampilan sulungnya pada Sukan Olimpik di Tokyo bulan ini mampu menjadi titik perubahan terpenting dalam kariernya.
Bekas raja pecut negara dan Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, peluang beraksi di temasya berprestij dan berkongsi balapan bersama jaguh-jaguh dunia dilihat dapat membantu membentuk pelari berusia 21 tahun itu menjadi seorang atlet berjaya.
Nazmizan, pemenang pingat emas 100 meter (m) dan 200m Sukan SEA 2003 Hanoi itu mengakui perjalanan yang perlu ditempuh Azreen Nabila masih panjang dan penyertaan di temasya Olimpik kali ini memberikan pendedahan amat berguna.
"Walaupun yang pergi ke Olimpik atlet bertaraf dunia tak mustahil bagi Azreen Nabila berbuat sesuatu, mungkin perbaharui catatan terbaiknya dan saya lebih suka lihat kejohanan itu sebagai titik perubahan dalam karier seterusnya mematangkan karakter beliau.
"Mungkin dalam jangka masa lima tahun dari sekarang beliau akan memenangi pingat emas di Sukan SEA dan boleh memberi cabaran di pentas Sukan Asia, jadi Sukan Olimpik ini boleh dilihat sebagai platform terbaik untuk beliau ke arah itu,” katanya kepada Bernama pada Isnin.
Azreen Nabila layak beraksi dalam acara 100m pecut wanita di Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang menerima satu slot wild card susulan kejayaan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei melayakkan diri secara merit.
Atlet kelahiran Terengganu itu sebelum ini mencipta kejutan dalam acara 100m wanita Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, April lalu, apabila menewaskan nama besar antaranya S. Komalam Shally dari Perak dan atlet Johor, Siti Fatimah Mohamad untuk merangkul emas dengan catatan 12.00 saat (s).
Rekod peribadi terbaik Azreen Nabila adalah 11.81s dicatat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.
"Tidak mustahil untuk beliau melakukan catatan peribadi terbaik antara 11.60s atau 11.70s di sana (Tokyo),” kata Nazmizan, 40, yang pernah beraksi dalam acara 200m pecut lelaki di Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece menerusi tiket"wild-card”.
Sementara itu, Nazmizan yang kini Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengakui keputusan KOM menghantar Azreen Nabila ke Tokyo adalah tepat di sebalik terdapat pertikaian berhubung perkara itu.
Dengan kecederaan yang masih membelenggu jaguh pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, 27, selain faktor umur beberapa lagi pelari pecut lain, Nazmizan menganggap tiada individu lebih layak diberikan slot itu selain Azreen Nabila.
Beliau percaya dengan kerja keras berterusan Azreen Nabila bakal menjadi individu penting untuk meneruskan legasi Malaysia dalam acara pecut wanita.
"Kita masih ada Komalam dan Siti Fatimah yang masing-masing sudah berumur 33 tahun dan 35 tahun, jadi mungkin ada lagi dua hingga tiga tahun sebelum bersara, tinggal Azreen dan Zaidatul yang mungkin satu masa akan memasuki alam pekerjaan dan bersara,” kata Nazmizan.
Dalam pada itu, Nazmizan menasihatkan Azreen Nabila supaya cepat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa sebaik tiba di Tokyo bagi membantunya lebih fokus dalam mencapai objektif di sana.
"Jangan gugup dan jangan rasa kerdil. Kena sentiasa berjiwa besar dan paling penting jangan rasa kita tidak mampu, sebaliknya berikan segala yang terbaik dan mengikuti setiap perancangan dalam persiapan yang dibuat selama ini,” katanya. - Bernama