SHAH ALAM - Status negara maju dari sudut ekonomi akan lebih cepat dicapai jika gejala rasuah berjaya dibendung dalam negara ini.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan meningkat sehingga 20 peratus jika gejala itu dapat dihapuskan.
Beliau menegaskan, jika semua pihak dapat mengelakkan rasuah, pertumbuhan ekonomi akan lebih tinggi dan sudah pasti dengan cepat mencapai status ekonomi maju,” katanya.
Menurut beliau lagi, gejala rasuah juga akan mendatangkan kesan negatif kepada pelaburan negara termasuk tiada pelabur asing berminat untuk melabur.
"Kalau rasuah tidak dibanteras sewajarnya, maka golongan perasuah akan memusnahkan negara dan perkara ini perlu ditangani segera.
"Jika jadikan rasuah ini sebagai satu norma hidup, sudah pasti keadaan negara tidak akan berkembang dengan baik. Kita perlu memerangi rasuah daripada dalaman kita sendiri dan bukan sahaja peringkat luaran.
"Kalau katakan bahawa ia adalah jijik, saya rasa ini sesuatu perkara yang harus diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tiada agama yang menggalakkan rasuah,” tegasnya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Sementara itu, Shamsuddin memuji gerakan Rasuah Busters yang dianggapnya satu perjuangan yang mampu menerapkan budaya benci rasuah.
Tegas beliau, Rasuah Busters perlu dijadikan satu wadah supaya semua pihak dapat bergabung untuk memastikan gejala itu dapat ditangani dengan sebaiknya.