Orang buta teruja dapat vaksin

Iklan
Ahli SBM Cawangan Perak sedang menunggu giliran menerima vaksin dalam satu program khas di Pejabat SBM Cawangan Perak, Medan Kidd, di sini. (Gambar kecil: Idris)

IPOH - Program pemberian vaksin kepada golongan kurang upaya (OKU) penglihatan anjuran Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Perak mendapat sambutan menggalakkan.

Beberapa ahli SBM yang ditemui teruja menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 yang dibuat di Pejabat SBM Cawangan Perak, Medan Kidd, di sini.

Iklan
Iklan

Seorang penerima vaksin, Liew Wai Ming, 43, berkata, dia sangat gembira apabila menerima suntikan tersebut.

Menurutnya, pemberian vaksin kepada golongan OKU penglihatan memang dinanti-nantikan sebelum ini.

Iklan

"Cucuk vaksin tak rasa apa-apa pun. Terima kasih kepada SBM Perak dan kerajaan yang membantu memudahkan kami dapat vaksin.

"Nasihat saya kepada orang ramai jangan takut nak pergi cucuk vaksin. Semoga kita boleh hidup seperti biasa dan saya boleh kembali bekerja sebagai tukang urut," katanya ketika ditemui di Pejabat SBM Cawangan Perak, Medan Kidd, di sini pada Selasa.

Iklan

Bagi Muhammad Shahrizal Ismail, 24, pula, peluang untuk menerima vaksin lebih awal dimanfaatkan sebaik mungkin apabila menjadi antara yang terawal hadir.

Katanya, walaupun terpaksa datang jauh dari Batu Kurau ke Ipoh, dia tidak mahu melepaskan peluang mengambil vaksin tersebut.

Dia turut menasihati orang ramai yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin supaya segera berbuat demikian.

Sementara itu, Pengerusi SBM Cawangan Perak, Idris Hashim berkata, usaha yang dilakukan pihaknya itu susulan permintaan daripada ahli sendiri.

Menurutnya, sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan dan di luar jangkaan.

"Pada awalnya, yang mendaftar untuk dapatkan vaksin ini hanya 35 orang tetapi yang datang hari ini lebih pula.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan yang membantu pihak pertubuhan memudahkan ahli mendapatkan vaksin di sini," katanya.

Idris berkata, bagi suntikan dos kedua vaksin nanti, lokasi sama akan digunakan untuk memudahkan ahli menerima vaksin berkenaan.