Lebih 33 peratus B40 baharu hidap penyakit tidak berjangkit

Iklan
Dr Adham. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Seramai 151,729 rakyat kumpulan B40 atau lebih 33 peratus daripada 457,462 penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) baharu dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, data membimbangkan itu diperoleh berdasarkan Laporan Peka B40 2019- 2020 selepas golongan itu menjalani saringan kesihatan di bawah skim tersebut.

Iklan
Iklan

"Jumlah ini melibatkan kumpulan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidap penyakit tidak berjangkit.

"Ia seperti kencing manis (10.4 peratus), kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus) selain masalah obesiti dan sebagainya.

Iklan

"Sebelum menjalani saringan kesihatan Peka B40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan," katanya ketika melancarkan Laporan Peka B40 2019- 2020 secara maya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, sebanyak RM62.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh 15 April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk membiayai skim yang bertujuan untuk membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit rakyat kumpulan B40 itu.

Iklan

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat saringan kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat, serta ujian air kencing dan darah.

Skim Peka B40 yang diuruskan Protect Health Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan empat manfaat.

Ia terdiri saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser berjumlah RM1,000 dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000.

"Skim ini memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit dan percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas," katanya.