Perlu hukuman lebih tegas kes hina nabi

Iklan
Ahli Parlimen Britain, Naz Shah. - Foto Agensi

LONDON - Pemerintah Britain perlu mempertimbang untuk mewujudkan hukuman lebih tegas terhadap individu atau kumpulan yang menghina Nabi Muhammad SAW, kata ahli Parlimen Britain Naz Shah.

Naz Shah dari Parti Buruh berkata, tindakan membiarkan penghinaan kepada nabi atau agama kononnya atas nama hak kebebasan bersuara adalah satu tindakan provokasi melampau terhadap umat Islam.

Iklan
Iklan

Tambahnya, tindakan itu juga mencetuskan 'kerosakan emosi' selain menyinggung perasaan komuniti Muslim di Britain termasuk umat Islam di seluruh dunia.

Naz Shah berkata demikian bagi mengulas cadangan rang undang-undang (RUU) baharu Britain yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun ke atas individu yang merosakkan patung-patung bersejarah.

Iklan

Tahun lalu, polis terpaksa dikerah bagi melindungi patung arca bekas Perdana Menteri Winston Churchill dan beberapa lagi tugu peringatan pahlawan serta pedagang hamba lain di sekitar London susulan gelombang protes Black Lives Matter.

Sebelum ditutup dengan lapisan kayu, patung-patung tersebut sempat menjadi mangsa vandalisme.

Iklan

Patung Churchill, pemimpin Britain semasa era Perang Dunia Kedua misalnya diconteng dengan grafiti rasis.

Mengulas lanjut, Naz Shah berharap hukuman sama dan setimpal dikenakan terhadap golongan penghina agama.

"Hukuman kerana menyerang patung ini benar-benar menimbulkan persoalan. Kenapa seseorang diberi hukuman jauh lebih signifikan kerana menyerang objek tidak bernyawa?

"Parlimen memberikan kepentingan untuk melindungi patung-patung ini kerana ia mendatangkan kerosakan emosi kepada orang Inggeris memandangkan ia ada kaitan dengan sejarah, budaya dan identiti negara ini.

"Sebagai orang Islam, kami juga mahu hukuman sama dikenakan terhadap individu yang menghina nabi kami.

"Kami juga mengalami kerosakan emosi yang tidak tertanggung apabila ada pihak yang fanatik dan rasis memfitnah atau mencaci nabi kesayangan kami," ujar Naz Shah.

Tambahnya, perkara yang memudaratkan emosi seperti menghina agama perlu ditangani kerana ia bukan sahaja menyinggung perasaan umat Islam tetapi juga penganut agama-agam lain di Britain. - Agensi