Tekanan PdPR: Ibu bapa perlu lengkapkan diri dengan pengetahuan

Iklan
Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan sesi PdPR. - Gambar hiasan

KANGAR - Selain menyediakan peralatan elektronik, ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak mereka.

Pengerusi Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Perlis, Profesor Madya Dr Abdul Jalil Ramli berkata, kebelakangan ini ramai ibu bapa mengadu bahawa mereka tertekan dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian itu.

Iklan
Iklan

"Pada sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah, guru yang akan menerangkan kepada murid tentang sesuatu topik yang tidak difahami murid.

"Namun, tugas guru itu terpaksa dipikul oleh ibu bapa sepanjang PdPR menyebabkan mereka rasa tertekan dengan bebanan baharu itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Iklan

Abdul Jalil berkata, antara faktor tekanan ialah tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membantu anak, di samping kekurangan masa setelah penat bekerja seharian.

"Bagi membantu ibu bapa, kita (PIBKS) mencadangkan agar pihak terlibat, sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) atau Jabatan Pendidikan Negeri, mengeluarkan modul pembelajaran atau nota bagi setiap mata pelajaran, untuk membantu ibu bapa memahami topik yang diajar pada sesi PdPR,” katanya.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, ibu bapa juga perlu meningkatkan pengetahuan agar dapat membantu anak-anak.

"Saya tidak nafikan bahawa ini bukan satu perkara yang mudah bagi ibu bapa, terutama bagi mereka yang kurang berpengetahuan, namun keadaan sekarang mendesak untuk mereka berkorban demi masa hadapan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perlis Naemah Ibrahim tidak menafikan pihaknya ada menerima panggilan daripada ibu bapa yang menzahirkan rasa tertekan dengan PdPR dan mendapatkan bantuan perkhidmatan tele kaunseling.

Beliau menjelaskan tekanan timbul kerana ibu bapa yang bekerja dari rumah terpaksa menguruskan dua perkara dalam satu masa, iaitu urusan kerja dan PdPR.

Di samping itu, terdapat juga keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peranti yang sesuai untuk anak-anak mereka mengikuti pelajaran secara dalam talian, katanya.

Berkongsi pengalaman, seorang penjawat awam Norhafizah Saidin, 50, berkata beliau risau dengan kesihatan dan tekanan yang dihadapi anaknya sepanjang mengikuti PdPR, kerana melibatkan masa yang panjang berbanding kelas harian.

"Walaupun pembelajaran itu penting, kesihatan fizikal dan emosi juga penting...disebabkan pandemik Covid-19, saya tidak benarkan anak saya bermain di luar bersama rakan kerana bimbang risiko jangkitan.

"Banyak masa dihabiskan di rumah dengan mengikuti kelas PdPR, bermula seawal 7 pagi hingga lewat petang, saya bimbang situasi ini akan menjejaskan kesihatan mental anak kerana hanya terkurung di rumah,” kata ibu kepada seorang murid Tahun Enam itu.

Justeru, beliau berharap agar pihak sekolah dapat mengurangkan bebanan kerja rumah selain mewujudkan suasana pembelajaran yang kreatif bagi mengurangkan tekanan kepada murid. - Bernama