MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan untuk mencapai 80 peratus individu berusia 18 tahun ke atas lengkap dua dos vaksin menjelang penghujung Oktober ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setakat ini, data yang diperolehi dalam tempoh dua hari lalu menunjukkan peningkatan daripada jumlah 7.5 peratus kepada lapan peratus yang telah lengkap dua dos vaksin.
Menurutnya, angka itu menjadi pananda aras bahawa sasaran itu boleh dicapai, malah 20 peratus individu golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
"Seperti mana di seluruh negara, kita jangka bulan Julai akan ditingkatkan suntikan dan setakat ini juga lebih sembilan juta rakyat telah disuntik dos pertama, secara purata 300,000 suntikan diberikan di seluruh negara pada setiap hari.
"Jadi tempoh Julai, Ogos dan September ini kita akan terima lebih banyak vaksin dan dengan cara itu kita dapat tingkatkan kapasiti suntikan harian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, pihaknya juga menyasarkan 80 peratus jumlah keseluruhan populasi selesai dua dos vaksinasi menjelang tahun depan.
"Di Melaka juga kita menyasarkan untuk meningkatkan dos harian kepada 400,000 pada bulan ini," katanya.