PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan lima nelayan asing warga Vietnam yang cuba 'merompak' 200 kilogram (kg) gamat berkualiti tinggi pada jarak 42.7 batu nautika dari muara Tok Bali di sini, pada Ahad.
Penahanan lima nelayan termasuk tekong bot berusia antara 25 hingga 38 tahun itu dilakukan pada jam 6.10 petang menerusi Op Naga Barat dan Op Gamat.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, semasa melakukan rondaan pihaknya telah terserempat dengan bot nelayan Vietnam yang meceroboh masuk ke kawasan perairan negara di negeri ini.
"Bot Kilat 17 milik Maritim Malaysia Kelantan telah bertindak mengejar bot nelayan asing itu, namun mereka telah bertindak agresif dengan mencampakkan tali bagi menghalang tugas anggota penguatkuasa," katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Malaysia Tok Bali di sini, pada Selasa.
Menurutnya, bagaimanapun ketangkasan dan semangat tinggi anggota telah berjaya menahan bot nelayan asing Vietnam itu.
Beliau berkata, sejurus ditahan kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen sah dan surat kebenaran untuk kerja-kerja menangkap ikan di perairan negara.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu membawa kepada penemuan 200kg gamat berkualiti tinggi dan 2,000 liter minyak diesel.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM300,000.
"Walaupun nilai rampasan agak kecil, namun kerosakan yang dilakukan oleh nelayan asing itu sangat teruk untuk hidupan laut di Malaysia.
"Hal ini kerana, kesan kerosakan itu mengambil masa selama lima tahun untuk pulih," katanya.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, Maritim Malaysia Kelantan akan terus memperketatkan lagi rondaan dan kawalan di perairan negara bagi mengekang aktiviti pencerobohan nelayan asing.
Beliau berkata, Maritim Malaysia Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang bertindak melanggar undang-undang negara.