Zahid Hamidi persoal SOP pasar raya

Iklan
Ahmad Zahid persoal SOP sedia ada di pasar raya melalui hantaran di Facebooknya pada Selasa.

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di pasar raya.

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, beliau berkata, sehingga kini seramai 1,162 pekerja membabitkan 59 buah pasar raya disahkan dijangkiti Covid-19 sehingga 1 Julai dan operasi terpaksa ditutup untuk tempoh tertentu.

Iklan
Iklan

"Ia jelas menimbulkan persoalan yang amat besar mengenai SOP sedia ada di pasar raya. Sama ada SOP di pasar raya berkesan membendung penularan wabak Covid-19.

"Perkara ini perlu diteliti sebaik mungkin. Ia bukan saja merisikokan pekerja. Malah meletakkan pengunjung dalam situasi berbahaya setiap kali membeli barang keperluan," tulisnya.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pasar raya antara sektor yang perlu beroperasi dalam tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Jika tidak sukar bagi orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan," katanya.

Iklan

Beliau turut mencadangkan beberapa pendekatan diambil termasuk menyegerakan suntikan vaksin terhadap pekerja selain memperkemas SOP sedia ada seperti pemakaian dua lapis pelitup muka.

"Bukankah ramai yang pernah menyuarakan kebimbangan tentang penyebaran virus secara 'airbone' dan belum ada SOP yang jelas bagi menangani penyebaran virus melalui bawaan udara ini.

"Selain itu, boleh juga tempatkan penguat kuasa di premis 'essential' bagi memantau pengoperasian supaya pekerja dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan mereka," kata beliau.