Bila bergabung banyak boleh tolong

Iklan
Mas Imran (kiri) dan Mohamad Shahrizal menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian dan tab kepada salah satu keluarga penerima.

JOHOR BAHRU - Kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat mampu membuahkan hasil yang lebih mantap dan menyeluruh.

Ini dibuktikan apabila Kelab Generasi Sahabat Dinamik Malaysia (Genesis), OnedayOnefamily dan pasaraya Econsave bergabung menyediakan barangan sumbangan kepada golongan memerlukan di sekitar bandaraya ini pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam sebenarnya program kebajikan yang dilaksanakan secara bersama itu memberi impak lebih bermanfaat kepada golongan penerima.

Jelas beliau, pihak Econsave menyediakan 30 pek sumbangan barangan keperluan harian, Genesis memberikan bantuan 10 unit tab untuk PdPr dan telur manakala pasukan OnedayOnefamily menambah bantuan 30 pek beras.

Iklan

"Bila kita bergabung sebenarnya lebih banyak jenis barangan bantuan dapat disediakan kepada penerima.

"Pada awalnya Econsave menerima jemputan daripada pihak Genesis dan OnedayOnefamily untuk bekerjasama menjayakan program penyerahan bantuan sempena PKP yang dilaksanakan di Johor ini.

Iklan

"Kami sememangnya aktif melakukan kerja-kerja kebajikan di bawah #econsaveprihatin dan terus bersetuju untuk bergabung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas program penyerahan bantuan di Balai Raya Kampung Pasir, dekat sini.

Sementara itu, penggerak Genesis di Johor, Mohammad Shahrizal Samsudin pula berkata, Sabtu lalu merupakan program Sepapan Telur Sebuah Rumah yang dibuat serentak di 11 lokasi seluruh negara.

Jelas beliau, sumbangan keseluruhan 250 papan telur itu dapat dijayakan hasil daripada sumbangan Genesis dan derma orang ramai yang prihatin dengan nasib mereka yang terjejas akibat PKP.

"Cuma di Johor Bahru ini istimewa sedikit kerana Genesis turut menyumbangkan 10 unit tab kepada 10 pelajar daripada keluarga B40 untuk PdPr mereka.

"Di samping itu juga kami bersyukur apabila pasukan OnedayOnefamily dan pihak Econsave bersetuju untuk berganding baharu bagi menjayakan program ini,” katanya.

Selain program penyerahan sumbangan yang dijalankan di Balai Raya Kampung Pasir, pasukan OnedayOnefamily yang diketuai oleh Zulfadli (kiri) turut menghantar bantuan ke rumah-rumah penerima.

Bagi Zulfadli Ismail iaitu Ketua Penggerak OnedayOnefamily pula, beliau gembira apabila gabungan tiga pihak berkenaan akhirnya memberikan banyak manfaat kepada penerima.

Biarpun masing-masing menyumbang dalam kuantiti tidak besar, namun apabila digabungkan bersama sebenarnya banyak barangan dapat disediakan.

"Bila pihak Econsave menaja barangan keperluan harian, Genesis pula sediakan 10 unit tab dan 30 papan telur manakala kami tambah dengan 10 kampit beras, jenis barangan sumbangan jadi pelbagai. Itu yang uniknya.

"Malahan kerjasama seumpamanya ini memberi banyak manfaat kepada pihak penerima dan juga kami yang menjalankan,” katanya.