Penganggur ceroboh halaman rumah kekasih didenda RM1,000

Iklan
Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

PETALING JAYA - Gara-gara menceroboh halaman rumah kekasih, seorang penganggur didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Maududi Masaud, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan rumah milik bapa kekasihnya yang berusia 65 tahun di Jalan 22/57 di sini pada jam 7.30 pagi, 4 Julai lalu.

Iklan

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, isteri pengadu ternampak tertuduh berada di halaman rumah, lalu menghubungi pihak polis.

Iklan

Hasil siasatan mendapati, tertuduh mengaku melakukan kesalahan berkenaan.

Semasa prosiding, Maududi yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah memberikan hukuman ringan kerana dia tidak bekerja.

"Saya mengaku ceroboh rumah itu kerana mahu bertemu dengan kekasih dan bapanya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.