Perkeso yakin realisasi 180,000 penempatan pekerjaan baharu

Iklan
Mohammed Azman

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yakin dapat merealisasikan 180,000 penempatan pekerjaan baharu, selain mengekalkan 2.5 juta pekerja dalam pekerjaan, melalui pelaksanaan beberapa inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sehingga 31 Disember ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bagi memastikan sasaran itu tercapai, agensi itu akan terus memperkasa program penawaran pekerjaan termasuk menambah bilangan temu duga terbuka.

Iklan
Iklan

"Untuk tahun ini, Perkeso telah menjalankan lebih 1,168 program temu duga dalam talian, manakala hampir 950 program temu duga lagi dijangka dilaksanakan secara dalam talian dan fizikal sehingga Disember ini.

"Tumpuan diberikan kepada temu duga secara maya sehingga temuduga fizikal dibenarkan,” katanya pada sidang media secara maya pada Selasa.

Iklan

Mohammed Azman berkata, menerusi Perkhidmatan Pekerjaan Awam Perkeso juga, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi separuh kedua tahun ini, bertujuan menyediakan lebih akses kepada para pencari kerja di kawasan bandar dan luar bandar.

"Antara program utama yang digagaskan termasuklah penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di universiti-universiti serta di beberapa lokasi terpilih melalui kerjasama bersama kerajaan negeri, selain di 54 pejabat Perkeso di seluruh negara.

Iklan

"Selain itu, akses kepada MYFutureJobs diperluaskan lagi dengan usahasama Pusat Internet Komuniti di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pusat Komuniti Desa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.

Selain itu, Mohammed Azman berkata, kini terdapat lebih 231,000 kekosongan kerja aktif di portal MYFutureJobs.

Beliau berkata, bagi menggalakkan pencari kerja yang bukan pencarum Perkeso untuk menggunakan portal itu, elaun sebanyak RM300 sebulan disediakan apabila mereka menghadiri tiga temu duga dalam sebulan bagi tempoh dua bulan.

"Mereka juga akan menerima insentif RM400 apabila diambil bekerja. Insentif menerusi Elaun Mencari Pekerjaan (SIP Prihatin 2.0) ini dijangka memberi manfaat kepada 229,000 pencari kerja,” katanya.

Mohammed Azman berkata, Insentif Pengambilan Pekerja juga telah dilanjutkan melalui Program PenjanaKerjaya 3.0 yang bermatlamat untuk terus menggalakkan pewujudan pekerjaan baharu.

Insentif ini, katanya, melayakkan majikan menerima 40 hingga 60 peratus subsidi daripada jumlah gaji pekerja untuk tempoh enam bulan.

"Kos latihan sehingga RM7,000 juga disediakan untuk pekerja yang digajikan termasuk lepasan sekolah dan graduan baharu serta golongan rentan termasuk pekerja berusia, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan bekas banduan.

"Calon-calon yang diambil bekerja pula layak menerima elaun mobiliti sehingga RM1,000 secara ‘one-off’ apabila mereka menghadiri program latihan, termasuk kursus pensijilan profesional yang dipilih oleh majikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Program PenjanaKerjaya 3.0 turut melonggarkan syarat tempoh kontrak daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi pencari kerja berumur lebih 50 tahun, OKU dan bekas banduan.

Bagi menggalakkan majikan menggajikan lebih ramai warga tempatan bagi pekerjaan yang kebiasaannya diisi oleh warga asing, PenjanaKerjaya 3.0 juga melonggarkan syarat gaji minimum di bawah Program Malaysianization daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan, katanya

Sementara itu Mohammed Azman berkata, bagi mengukuhkan penyampaian perkhidmatan pekerjaan, kerajaan turut menyediakan insentif untuk agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja.

"Insentif sehingga RM300 disediakan untuk setiap penempatan pekerjaan bagi individu yang kehilangan pekerjaan, graduan mahupun lepasan sekolah.

"Insentif ini diharap akan menggalakkan penglibatan agensi swasta serta merancakkan lagi proses penempatan individu yang kehilangan pekerjaan ke dalam pasaran buruh,” katanya.

Pada 28 Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Pemulih bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat.

Pakej tersebut menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi. - Bernama