Dua beradik warga emas teruja terima suntikan vaksin bersama

Iklan
Zalilah (kiri) dan Aminah teruja menerima suntikan vaksin bersama-sama di PPV UniSZA di Kuala Nerus pada Selasa.

KUALA NERUS - Dua beradik dari Kampung Balai Maras, di sini meluahkan rasa syukur dan teruja kerana menerima giliran suntikan vaksin bersama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Selasa.

Zalilah Muda, 85, yang merupakan anak sulung serta adiknya, Aminah, 80, (anak kedua) daripada sembilan beradik itu akrab sejak kecil.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya tiba di PPV berkenaan kira-kira jam 10 pagi dengan berkerusi roda kerana mengalami masalah untuk berjalan.

Anak Zalilah, Zadil Hayat, 44, berkata, ibu dan ibu saudaranya kelihatan gembira dan teruja kerana mendapat giliran untuk menerima vaksin pada hari yang sama.

Iklan

"Saya juga gembira sebab dapat bawa mereka bersama-sama ke PPV hari ini. Kalau tidak dapat peluang ini mungkin tarikh atau waktu mereka akan divaksin berbeza," katanya.

Sementara itu katanya, dia mengambil alih tugas menjaga kedua-duanya sejak mereka kehilangan suami.

Iklan

"Sejak kehilangan suami, mereka tinggal bersama saya dan saya memang tahu mereka berdua begitu akrab sejak kecil. Jadi tiada menjadi masalah buat kami semua untuk menjaga mereka.

"Walaupun mereka berdua berkerusi roda, saya dan suami dapat menguruskan proses vaksinasi mereka sehingga selesai," katanya.

Sementara itu, Zalilah berkata, dia gembira dan bersyukur kerana terpilih untuk menerima suntikan vaksin bersama adiknya.

"Saya bersyukur kerana mendapat vaksin bersama-sama memandangkan kami berdua sudah berjanji untuk pergi berdua jika dapat janji temu untuk vaksin.

"Kami berdua memang akrab sejak kecil dan akan bersama ke mana sahaja. Biasanya kami pergi bersama-sama seperti ke kenduri kahwin, mengundi dan menziarahi keluarga," katanya.