KUALA NERUS - Warga emas menanggung derita selama setengah jam apabila tersepit dalam kereta dipandu selepas bertembung lori dari arah bertentangan di Padang Air di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira kira 5.28 petang itu, Mat Hussin Daud, 63, yang memandu Perodua Kancil bersama isterinya, Wan Zainab Wan Jaafar, 54, dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Namun perjalanan yang dirancang itu tidak kesampaian apabila Perodua Kancil dinaiki pasangan suami isteri itu bertembung lori yang menghala ke arah Kota Bharu di lokasi kejadian.
Akibat pertembungan, Mat Husin cedera di kepala dan kaki kanan, sementara isterinya cedera pada bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Pemandu lori yang juga lelaki berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Halim Mat Adam berkata, pihaknya menerima panggilan kira kira jam 5.28 petang.
"Kami mengambil masa kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit. Mangsa mengalami kecederaan di kaki berikutan kaki kanannya itu tersepit di pintu sebelah pemandu.
"Kita terpaksa menggunakan alatan menyelamat khas untuk mengumpil dan memotong bahagian kenderaan terbabit sebelum mengeluarkan mangsa,” katanya ditemui pemberita di lokasi.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa segera ke Unit Kecemasan HSNZ untuk mendapatkan rawatan.