KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan Op Bantu bagi menyalurkan bantuan kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan susulan penularan Covid-19 dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, menerusi operasi itu, kesemua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara akan dijadikan sebagai pusat pengagihan bantuan bekalan makanan bagi mereka yang terkesan.
"Di lapangan, Op Bantu akan diketuai 157 ketua polis daerah seluruh negara dan melibatkan Skuad Aman Wanita (Amanita) di bawah Polis Diraja Malaysia serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di peringkat daerah yang ditugaskan untuk menyampaikan bantuan segera.
"Anggota Rela di lapangan juga ditugaskan melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat dan bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Hamzah berkata, pelaksanaan Op Bantu merupakan kolaboratif strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
"Hari ini pengagihan hampir 50,000 bakul makanan ke seluruh negara telah dilakukan,” katanya.
Beliau dalam masa sama meminta individu yang terputus bekalan makanan supaya memaklumkan kepada IPD berdekatan dan bagi mereka yang tidak dapat hadir, boleh hubungi IPD berhampiran melalui talian rasmi IPD atau talian WhatsApp khas Op Bantu yang akan dimaklumkan kemudian.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Sementara itu, Rina berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha mendekati mereka yang memerlukan bantuan semasa pandemik Covid-19 serta sebagai tindak balas proaktif kepada isu dan situasi yang sedang dihadapi masyarakat.
"Sudah pasti program yang diadakan hari ini menepati konsep tiada siapa yang tertinggal," katanya.
Dalam kenyataannya pula, Rina berkata, kolaboratif strategik antara KPWKM dengan KDN itu akan diteruskan walaupun selepas pandemik Covid-19, bagi menyantuni masyarakat dan memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan yang sewajarnya.
"Sejajar dengan konsep"whole of government”, kerjasama antara KPWKM dan KDN melalui agensi-agensi di bawahnya akan dapat mewujudkan penglibatan komuniti bagi menangani gejala sosial, membantu rakyat yang memerlukan dan membasmi jenayah," katanya. - Bernama