BRAZIL semakin hampir mempertahankan kejuaraan Copa America 2021 selepas mara ke pentas final menundukkan Peru 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Nilton Santos, Rio de Janeiro pada Selasa.
Pemain tengah, Lucas Paqueta sekali lagi dijulang sebagai wira apabila menyumbat gol kemenangan Brazil, sekali gus menyalakan impian The Selecao merangkul kejuaraan Copa America buat kali ke-10.
Paqueta berkata, Brazil semakin berkeyakinan tinggi dan bersedia berdepan sesiapa sahaja menjelang aksi final yang bakal berlangsung di Stadium Maracana, Rio de Janeiro pada Ahad ini.
"Dalam fasa ini, kami sudah tidak memikirkan siapa lagi lawan pada aksi final, sebaliknya lebih fokus menyediakan pasukan yang terbaik untuk perlawanan itu nanti.
"Tiada keperluan untuk memilih lawan kerana sememangnya kami telah bersedia untuk tampil mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.
"Kami harus tampil lebih baik berbanding aksi menentang Peru jika mahu muncul juara sekali lagi. Buat masa ini, kami mahu menikmati kejayaan menewaskan Peru,” katanya.
Mengulas kemenangan ke atas Peru - lawan Brazil pada final Copa America 2019, Paqueta berkata, dia lega kerana dapat menghasilkan jaringan hasil umpanan bintang sensasi, Neymar.
"Peru merupakan lawan yang cukup sukar untuk ditewaskan. Mereka tampil lebih agresif terutamanya pada babak kedua bagi memburu gol penyamaan.
"Namun, dengan kerjasama semua pemain, kami berjaya mengekang asakan mereka sehingga tamat perlawanan. Saya gembira dapat membantu pasukan mara ke final,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Peru itu menyaksikan pengendalinya, Tite kini menyamai pencapaian bekas jurulatih Brazil, Mario Zagallo yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan Copa America.
Sejak dilantik membimbing Brazil pada 2016, pengendali berusia 60 tahun itu turut berjaya mengekalkan rekod 42 perlawanan tanpa bolos dalam 60 perlawanan.