PENYERANG Brazil, Neymar berharap seteru tradisi mereka, Argentina akan menjadi lawan Seleçao pada perlawanan akhir Copa America 2021 hujung minggu ini.
Malah bintang sensasi kelab liga Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) itu juga tidak meragui bahawa tuan rumah dikemudi pengendali Tite berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan menentang skuad kendalian La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni tersebut.
Iklan
Iklan
"Saya mahu Argentina, saya akan bersorak untuk mereka (aksi separuh akhir Argentina menentang Colombia). Saya ada kawan di sana, namun pada perlawanan akhir itu kelak Brazil akan menang," kata Neymar sambil tersenyum.
Brazil yang berstatus penyandang juara mara ke pentas final kejuaraan berprestij bola sepak Amerika Selatan tersebut selepas menewaskan Peru 1-0 pada aksi separuh akhir di Rio de Janeiro hasil jaringan tunggal Lucas Paqueta pada minit ke-35.
Untuk rekod, satu lagi perlawanan suku akhir Copa America 2021, menyaksikan Argentina menentang Colombia di Stadium Nacional Mane Garrincha, Brasília awal pagi Rabu.
Kali terakhir Seleçao dan La Albiceleste berentap pada perlawanan akhir Copa America adalah pada edisi Venezuela 2007 yang menyaksikan skuad Samba menang besar 3-0.
Lebih menarik pertemuan final Brazil dan Argentina juga amat dinanti-nantikan apabila akan menemukan dua peledak sensasi berjersi nombor 10 iaitu Neymar dan bintang La Albiceleste yang juga tonggak Barcelona, Lionel Messi.