BAM tidak berkompromi soal SOP

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada 5 Julai.

KEENAM-enam pemain negara yang menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol didapati positif Covid-19, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini.

Malah menurut Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, pihaknya sememangnya tidak berkompromi dalam memastikan pemain-pemain badan induk badminton negara tersebut mematuhi aspek berkaitan memutuskan rantaian Covid-19 tersebut.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya 72 jam sebelum mereka menaiki pesawat untuk pulang ke tanah air, semua mereka telah pun menjalani ujian swab dan didapati mereka negatif.

"Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ujian susulan juga mendapati mereka negatif sebelum menjalani kuarantin 14 hari di Akademi Badminton Negara (ABM) seperti diwajibkan kerajaan.

Iklan

"Masa hari ke-10 dan 11 sebelum mengakhiri kuarantin, sekali lagi mereka menjalani ujian swab, dan di situlah keenam-enam mereka didapati positif Covid-19,” katanya ketika di hubungi Sukan Sinar pada Selasa.

Badan induk badminton negara itu sebelum ini mengesahkan enam pemain yang menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol disahkan positif Covid-19.

Iklan

Jelas Kenny lagi, pihaknya kerap menghubungi keenam-enam pemain tersebut bagi mengetahui perkembangan terkini mereka sepanjang menjalani proses kuarantin tersebut.

"Keenam-enam pemain menyatakan mereka berada dalam keadaan sihat dan baik serta tidak menunjukkan sebarang simptom-simptom.

"Pada masa ini, BAM mematuhi segala protokol yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Di sini, saya mohon rakyat Malaysia mendoakan keenam-enam pemain remaja negara ini sembuh segera bagi membolehkan mereka menjalani latihan seperti biasa,” katanya.