SHAH ALAM - Golongan yang terlibat dalam bidang perniagaan perlu bersikap telus, berintegriti dan bebas daripada rasuah.
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, suasana perniagaan yang telus dan bebas rasuah akan memberikan hasil yang sama rata kepada semua tanpa ada pihak yang tercicir.
Begitupun, beliau tidak menafikan bahawa amalan rasuah yang wujud dalam kalangan pekerja, pengguna dan perniagaan di negara ini sangat kritikal.
"Tidak kiralah dari segi industri atau perusahaan apa sekalipun, semuanya terdedah kepada risiko rasuah.
"Jadi apa sahaja yang berteraskan rasuah perlu dihapuskan dengan segera supaya ia tidak semakin membarah dalam negara," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, toleransi terhadap pengamalan rasuah dalam dunia perniagaan atau masyarakat seharusnya tidak perlu ada.
Katanya, langkah untuk memerangi rasuah mesti dilakukan dengan menguatkan lagi institusi undang-undang, mempromosikan tingkah laku dan etika yang baik serta meningkatkan integriti di semua peringkat sama ada dalam sektor awam mahu pun swasta.
"FMM selalu menitik beratkan mekanisme berasaskan pasaran yang menggabungkan kekuatan permintaan dan penawaran dalam menentukan hasil yang diperolehi.
"Mekanisme ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan birokrasi dan mudah digunakan serta dapat menghilangkan peluang berlakunya penyalahgunaan rasuah dalam perniagaan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sangat menyokong inisiatif dan usaha Sinar Harian melalui kempen Rasuah Busters.
Bagaimanapun katanya, usaha untuk menghapuskan rasuah perlu dilakukan secara berterusan dan penglibatan masyarakat juga amat diperlukan untuk memastikan kehidupan bebas daripada amalan tidak sihat ini.