SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yakin ada dalang dan kartel di sebalik kewujudan kebun haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub, Pahang.
Naib Pengerusinya, Masridzi Sat berkata, aktiviti pencerobohan yang didedahkan sejak sekian lama itu tidak mungkin berlaku tanpa ada individu yang menjadi dalang di sebaliknya.
"Takkan mereka berani ceroboh saja-saja dengan jumlah yang begitu banyak, luas dan besar, kalau tiada yang menjadi payung kartelnya.
"Rakyat masih tak faham setelah begitu banyak dan begitu lama tanah kerajaan diceroboh, belum ada lagi kepala kartel, jerung besar yang ditangkap atau didakwa di mahkamah. Hanya kedengaran yang ‘bilis-bilis’ didakwa ke mahkamah.
"Apakah rahsia yang tersembunyi di sebaliknya? Kita harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pejabat Hutan Daerah dapat memberikan jawapan,” katanya memetik laporan Ismaweb.net pada Selasa.
Sehubungan itu, Masridzi berharap agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di negara ini mengukuhkan solidariti dalam menyokong usaha itu serta membantu dalam pelbagai cara.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya ditubuhkan suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk memantau operasi bersepadu ini secara lebih telus dan integriti.
"Diharap juga tanah-tanah yang telah dirampas daripada penceroboh diberi kepada rakyat pribumi, veteran ATM, PDRM, NGO Islam, badan-badan usahawan atau koperasi milik kaum peribumi Melayu Islam yang telah banyak menabur jasa kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta,” kata beliau.
ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan
18 pekebun durian musang king direman dua hari
Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah