Maqis serah daging sejuk beku kepada Penjara Penor

Iklan
Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim (dua kanan) menyerahkan 34 karton daging kerbau sejuk beku yang dilucutkan hak kepada wakil Penjara Penor, Pahang, Suhairi Johar (dua kiri) di Pusat Siasatan Lanjutan (FIC), Pelabuhan Klang. - Foto Maqis Selangor

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyerahkan 680 kilogram daging kerbau sejuk beku yang telah dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang pada Selasa untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli.

Maqis memberitahu, penyerahan tersebut membabitkan 34 karton daging kerbau sejuk beku dari India dengan nilai anggaran RM11,710.37 yang didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan melalui Pelabuhan Klang Barat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyerahan produk membabitkan hasil rampasan sejak April lepas adalah untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara yang dibuat oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Jelasnya, kesemua serahan itu adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses lucut hak di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Iklan

"Inisiatif ini diharap dapat membantu pihak berkenaan dari segi menyediakan bekalan sumber makanan kepada haiwan ternakan," menurut Maqis dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Maqis memaklumkan, pihaknya sentiasa prihatin dalam membantu agensi yang memerlukan serta memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi dan dalam masa sama terus memastikan isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dikawal. - Bernama

Iklan