Seminggu pujuk nenek umur 92 tahun terima vaksin

Iklan
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong (tiga, kiri) beramah mesra bersama Puchat pada hari suntikan vaksin di Kampung Orang Asli Bukit Payong. - Foto Bernama

ALOR GAJAH - Drama pujuk-memujuk yang berlangsung hampir seminggu akhirnya ‘tamat’ apabila individu tertua di Perkampungan Orang Asli Bukit Payung bersetuju dan menerima vaksin Covid-19 pada Selasa.

Puchat Lubak, 92, hadir ke pusat pemberian vaksin bergerak (PPVB) Kampung Orang Asli Bukit Payung dengan ditemani cucunya, Asiah Jegap, 37, dan menerima suntikannya pada Selasa sebelum keadaannya dipantau rapi petugas kesihatan terlibat.

Iklan
Iklan

Puchat turut mendakwa dirinya berusia lebih 100 tahun walaupun rekod pada kad pengenalannya mencatatkan beliau dilahirkan pada tahun 1929.

"Ambil vaksin sebab takut penyakit (Covid-19). Tak sakit pun (dicucuk),” katanya dalam bahasa Temuan sebelum diterjemahkan Asiah ketika ditemui di sini.

Iklan

Asiah menjelaskan beliau dan keluarganya mengambil masa seminggu untuk memujuk dan meyakinkan neneknya itu memandangkan Puchat sangat mempercayai perubatan tradisional seperti tumbuh-tumbuhan dan akar kayu berbanding vaksin.

"Mula-mula memang dia tak nak, tapi lama-lama dia bersetuju lepas saya cakap penyakit sekarang sudah makin teruk,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Rami Song Song, 62, mengakui takut dengan jarum namun akur untuk menerima vaksin selepas dipujuk oleh anak-anaknya.

"Saya sendiri bila fikir anak dan cucu terus setuju sebab tak nak jadi apa-apa pada mereka,” katanya yang kelihatan seronok mengambil vaksin beramai-ramai dengan penduduk kampung.

Terdahulu, seramai 314 penduduk orang asli di kampung berkenaan menerima suntikan vaksin jenis Sinovac dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK) melalui PPVB Mara Liner. - Bernama