SHAH ALAM - Beberapa kilang pembuatan sarung tangan di Selangor menghentikan operasi buat sementara waktu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan.
Menurut laporan The Edge Markets, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) yang merupakan pengeluar sarung tangan terbesar dunia berkata, pihaknya menghentikan sementara operasi pembuatan bagi mematuhi arahan PKPD.
Jelasnya, pihak Top Glove sedang menunggu penjelasan daripada Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) berkaitan masalah itu kerana masih tidak diberikan keterangan lanjut.
"Syarikat berharap dapat meneruskan operasi dengan selamat pada waktu yang sesuai dan terus menghasilkan sarung tangan perubatan. Ia sangat diperlukan untuk barisan hadapan dan pekerja penjagaan kesihatan di Malaysia serta global.
"Syarikat akan terus mematuhi peraturan dan undang-undang yang relevan serta prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19. Kami komited untuk menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja kami serta masyarakat di mana kami beroperasi," kata Top Glove pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tutup operasi kilang sarung tangan jejas pendapatan seberang laut
Pada 1 Julai, PKPD dikenakan di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kedua-dua negeri itu menunjukkan trend jangkitan yang tinggi seperti Selangor melaporkan purata kes harian Covid-19 antara 1,800 ke 1,900.
Selain itu, Hartalega Holdings Bhd juga telah memulakan penutupan sepenuhnya terhadap semua kemudahan pembuatannya di Bestari Jaya dan Sepang.
"Situasi ini memberi kesan kepada penjagaan kesihatan tempatan dan antarabangsa dari segi gangguan kesediaan bekalan.
"Ini kerana Hartalega adalah pengeluar sarung tangan nitril utama untuk hospital di seluruh dunia,” katanya.
Turut sama, Kossan Rubber Industries Bhd juga menyatakan telah melaksanakan penutupan sementara kemudahan pembuatan sarung tangannya di Klang atas alasan yang sama.
Penutupan kilang tersebut telah mengejutkan beberapa penganalisis kerana sarung tangan getah dianggap sebagai alat pelindung diri yang penting.
Pada 4 Julai, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) merayu bagi membolehkan kilang-kilang sarung tangan untuk terus beroperasi berikutan ia penting dalam memerangi penularan Covid-19 dan jangkitan lain semasa musim pandemik ini.
Presidennya, Dr Supramaniam Shanmugam berkata, susulan arahan PKPD, pelanggan global telah menyatakan kebimbangan mengenai kekurangan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan kepada mereka.
Supermax Corp Bhd dan Mah Sing Group Bhd antara pengeluar sarung tangan lain yang beroperasi di Klang.