TUMPAT - Cubaan menyeludup masuk rokok putih bernilai RM585,000 gagal apabila dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada Rabu.
Rampasan rokok putih sebanyak 780,000 batang itu dilakukan dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi tersebut.
"Sejurus tiba, anggota PPM telah membuat pemantauan selama satu jam di lokasi namun tiada sebarang pergerakan dikesan," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini pada Rabu.
Hadir sama Pegawai Pemerintah PGA Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.
Menurut Norzaid, anggota PPM kemudian membuat serbuan di kawasan stor tersebut dan hasil pemeriksaan menemui timbunan kotak-kotak rokok di dalam stor.
Katanya, PPM turut menyita enam buah kereta, lori (1), pacuan empat roda (1) dan van (1) serta dua buah bot yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
Norzaid berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua rokok itu dibawa masuk dari Thailand menggunakan laluan tidak sah. Rokok-rokok ini untuk dipasarkan di sekitar Kelantan dan pantai barat Semenanjung.
"Kamera litar tertutup (CCTV) turut ditemui di kawasan stor berkemungkinan digunakan bagi tujuan memantau kehadiran anggota penguat kuasa," katanya.