Bakal jururawat didenda RM7,000 sebar berita palsu

Iklan
Junaidah mengaku bersalah dan diperintah membayar denda RM7,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Rabu.

KUALA KANGSAR - Seorang bakal jururawat didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19 di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini pada Rabu.

Tertuduh, Junaidah Tekat, 25, didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2021, jam 12.20 tengah malam menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook menerusi profil akaun Junaidah June dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit telah menyebarkan berita tidak benar menerusi hantaran di Facebook berkenaan iaitu"Di Gerik hari ini diperakui satu lagi kematian berlaku melibatkan anggota polis. Komplikasi suntikan vaksin dos ke-2. Salam takziah. Semoga kebajikan ahli keluarga arwah terjaga" yang telah dibaca pada 4 April kira-kira jam 9.40 pagi di pejabat Hal Ehwal Awam/Pesara Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.

Tertuduh yang baru menamatkan pengajian di sebuah institut kejururawatan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Iklan

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Henie Soraya Hanafi bagaimanapun mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Iklan

Hakim Rohaida Ishak kemudian menjatuhi hukuman denda RM7,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Menurut Rohaida, hukuman yang dijatuhkan itu adalah setimpal untuk dijadikan pengajaran dan teladan agar tidak menjadikan media sosial sebagai medium untuk menyebarkan berita tidak benar ketika saat negara sedang menghadapi pandemik.

Sementara itu, tertuduh kemudiannya menjelaskan bayaran denda berkenaan sejurus tamat perbicaraan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azlina Rasdi dan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman.

Pada 4 April lalu, polis Perak mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Facebook 'Junaidah June' yang didapati menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis di Gerik disebabkan komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan berkata, pemilik akaun berkenaan melakukan perbuatan yang mendatangkan kegusaran terhadap masyarakat untuk menerima vaksin tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis ambil tindakan pemilik akaun FB sebar berita palsu