Pesara polis terharu terima kunjungan Ayob Khan

Iklan
Ayob Khan melawat Suliman yang kini hanya mampu terlantar akibat sakit lutut di rumahnya di flat Taman Cendana, Pasir Gudang pada Rabu.

PASIR GUDANG - Bekas pesara polis zaman darurat, Suliman A Hakim terharu dan gembira apabila menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di rumahnya di Flat Taman Cendana di sini pada Rabu.

Ayob Khan dengan diiringi Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak meluangkan masa kira-kira 10 minit beramah mesra dengan Suliman, 85, yang sudah uzur dan hanya terbaring akibat penyakit lututnya yang kronik.

Iklan
Iklan

Lawatan tersebut sempena Op Bantu di daerah ini melibatkan 20 penerima dari Taman Cendana dan Taman Scientex di sini pada Rabu bagi membantu golongan memerlukan.

Ayob Khan menyerahkan bantuan barang keperluan asas kepada isteri Suliman iaitu Sulam Ahmad, 61, bagi meringankan beban mereka.

Iklan

Menurut Sulam, sumbangan tersebut merupakan yang terbaharu diterima mereka dan amat berterima kasih dengan pihak polis kerana masih ingat dengan jasa dan khidmat suaminya.

"Suami saya adalah seorang bekas anggota polis pada zaman darurat, berkhidmat selama lima tahun di Tapah dan Kampar, Perak sebelum bersara di Cameron Highlands, Pahang pada 1959.

Iklan

"Suliman mengalami sakit lutut yang teruk sejak beberapa tahun lalu sehingga tidak boleh berjalan selepas berhenti kerja sebagai tukang kebun sebuah sekolah di sini.

"Ini memaksa saya berhenti kerja di sebuah pasar raya di sini pada 2018 untuk memberi sepenuh tumpuan menjaga suami dibantu anak tunggal kami, Siti Sarah, 21," katanya.

Katanya, mereka hanya bergantung hidup dengan wang simpanannya dan tidak pernah menerima bantuan bulanan Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Sulam, keluarganya ada menerima bantuan secara berkala daripada pihak polis dan komuniti setempat selain sumbangan 'one off' daripada kerajaan negeri baru-baru ini.