Parlimen bersidang lima hari mengarut, buang masa: Ku Li

Iklan
Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah oleh Tan Sri Johan Jaaffar dalam program “BERSAMA KU LI” yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf. - Foto SINAR HARIAN oleh Halim Wahid.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai ini sebagai tindakan membuang masa dan mengarut.

Ini kerana katanya, tempoh itu terlalu singkat untuk membahaskan isu rakyat serta perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh memerangi pandemik Covid-19 ini.

Iklan
Iklan

Jelas veteran UMNO itu, tiada sebarang makna sidang Parlimen diadakan tetapi kesukaran dan derita yang dilalui rakyat tidak dapat diselesaikan.

"Sebagaimana ia dicadangkan oleh kerajaan (sidang Parlimen lima hari), saya rasa buang masa saja. Kita nak bersidang lima hari, cara hibrid, tidak secara bebas sebagaimana yang biasa. Bimbang orang tua dijangkiti Covid-19 kalau ada sidang Parlimen, itu semua mengarut.

Iklan

"Bagilah peluang kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih rakyat supaya mereka boleh menyuara bagi pihak rakyat.

"Sekarang ini kita duduk main (bangkitkan pelbagai isu) kat sosial media sahaja. Tak dapat kita pastikan sama ada ia benar ataupun tidak benar," katanya pada program Bersama Ku Li yang disiar di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berkata demikian ketika menjadi tetamu program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, wakil rakyat seharusnya diberi ruang secukupnya di Dewan Rakyat untuk berbahas.

"Biarlah mereka menyuara secara rasmi. Bukan lima hari. Sebab nak tentukan perbelanjaan. Satu tahun yang dibelanjakan untuk pemerintahan menerusi bajet memakan masa sebulan.

"Ini berbelanja lebih daripada itu. Beribu juta telah diperuntukkan. Cuma nak buat dalam masa lima hari. Saya rasa tak patut (lima hari sahaja)," katanya.

Pada 28 Jun lalu, Tengku Razaleigh mengajak rakyat di negara ini untuk menandatangani petisyen bagi mendesak supaya sidang Parlimen diadakan segera atau sebelum darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Jelasnya, kewajaran petisyen itu dibuat adalah bagi membolehkan segala masalah berkaitan Covid-19, pengisytiharan darurat, ekonomi rakyat dan pelbagai lagi dapat dibahas di Dewan Rakyat.

Pada Ahad, kerajaan yang bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan 3 hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, sidang khas Parlimen itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.