JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor mengesahkan sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Ogos ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, surat rasmi daripada Seri Paduka Baginda yang memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh tersebut sudahpun diterima kerajaan negeri.
Menurut beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah dimaklumkan mengenai perkenan Seri Paduka Baginda itu.
"Kerajaan negeri Johor sudahpun menerima surat rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos ini.
"Oleh itu, kerajaan negeri Johor akan membuat persiapan dan perancangan agar sidang DUN berjalan sebagaimana kehendak peraturan persidangan dan Undang- undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan ventilator kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.
Sementara itu, Hasni ketika ditanya mengenai tempoh sidang DUN Johor berkata, perkara tersebut akan diperincikan terlebih dahulu.
Pada 23 Jun lalu, Sultan Ibrahim bertitah supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini.
Baginda juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
Selain itu, baginda juga mahu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 serta menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor rasmi persidangan DUN 12 Ogos ini