KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,435 aktiviti pelanggaran undang-undang membabitkan perairan negara bernilai RM220,443,106 juta berjaya dipatahkan sejak awal Januari hingga Jun ini.
Komander Pasukan Polis Marin Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak 38,694 kapal tempatan dan asing telah diperiksa.
"Sebanyak 26,908 kapal tempatan diperiksa pada 2020 manakala individu yang diperiksa adalah seramai 157,467 orang.
"Kes di bawah Akta Perikanan 1985 mencatatkan sebanyak 1,460 kes berbanding 625 kes manakala di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebanyak 57 kes tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.
Katanya, bagi kesalahan di bawah Akta Kastam 1985 mencatatkan sebanyak 133 kes manakala selebihnya melibatkan kes seperti Akta Kawalan Bekalan 1961(115), Akta Perkapalan Saudagar (581) dan Akta kawalan Padi (117).
"Nilai rampasan melibatkan kesalahan terbabit di bawah Akta Kastam 1967 adalah sebanyak RM156.3 juta.
"Akta Dadah 1952 (RM18.8 juta) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM13.35 juta),” katanya.
Menurutnya, tiga teras utama dikekalkan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman di perairan negara.
"Antaranya pencegahan dan penurunan kadar jenayah, menstabilkan kesejahteraan rakyat serta penguatkuasaan berterusan dan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.
"Keberhasilan kejayaan ini memperlihatkan aktiviti pelanggaran undang-undang membabitkan penyeludupan kontraban, penyusupan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan dadah dan pencerobohan nelayan asing," katanya.