SHAH ALAM - Pihak berkuasa terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung isu penerokaan Hutan Simpan Kekal di Batu Talam, Raub, Pahang oleh pekebun durian musang king.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, LHDN perlu menyiasat sama ada berlaku penipuan cukai dan seterusnya mengenakan penalti terhadap penceroboh.
Katanya, SPRM juga perlu menyiasat sama ada wujud penglibatan pegawai dan pembesar yang menerima sogokan serta rasuah dalam isu penerokaan tanah di Raub.
"Kes durian Batu Talam, semua penceroboh perlu ditangkap, disiasat, didakwa dan dihukum.
"LHDN perlu siasat sama ada penipuan cukai dan kenakan penalti.
"SPRM juga kena siasat secara menyeluruh semua pegawai atau pembesar yang membenarkan pencerobohan ini berleluasa sekian lama,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf menyelar pihak yang terima sogokan dan mengajak rakyat untuk tolak ahli politik yang membela penceroboh.
Hussamudin berharap agar tiada sebarang rundingan di belakang tabir atas dasar pertimbangan mahupun agenda politik demi membanteras amalan rasuah itu.
"Kita tidak boleh lagi biarkan penjajahan ini berterusan. Kita harus bersihkan Malaysia daripada Rasuah. Ini tanggungjawab kita,” katanya.
Oleh itu, semua pihak perlu bersikap bertanggungjawab dan tidak mengeluarkan dakwaan palsu atau memanipulasi mana-mana pihak dalam isu berkenaan.