Polis Perak salur bantuan penduduk kibar bendera putih

Iklan
Mior Faridalathrash (tengah) mendengar penerangan daripada pekerja sebuah premis pada Op Patuh Tim Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di Daerah Muallim.

MUALLIM - Polis Perak mengarahkan anggotanya mengenal pasti masyarakat yang memerlukan bantuan makanan termasuk mereka yang mengibarkan bendera putih sempena Op Bantu yang dilancarkan pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedia menziarahi dan membantu menyalurkan bakul makanan dengan segera kepada mereka yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua daerah di bawah pentadbiran 15 ketua polis daerah akan mengenal pasti mereka yang terjejas.

"Op Bantu ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan membantu menyalurkan kotak-kotak makanan di semua daerah dalam Kontinjen Perak.

Iklan

"Kami sudah menyalurkan kotak-kotak makanan hari ini. Anggota bagaimanapun diarahkan untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan seperti ada yang mengibarkan bendera putih, kita arahkan mereka untuk lihat dan bantu," katanya dalam sidang media Op Patuh Tim Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di IPD Muallim di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 76 kompaun dikeluarkan dan 21 premis diarah tutup setelah didapati beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 1 Jun lalu.

Iklan

Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 6,379 buah kilang di kawasan perkilangan dan perindustrian di seluruh negeri.

"Berdasarkan pemeriksaan, kilang-kilang itu mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada MITI namun setelah semakan dilakukan, perakuan semasa memohon adalah berbeza dengan jenis perniagaan yang dijalankan.

"Oleh itu, kesemua kilang yang ingkar kepada prosedur operasi standard (SOP) telah dikompaun dan diarahkan tutup oleh MITI," katanya.

Beliau berkata, tahap pematuhan masyarakat pula semakin meningkat dengan anggaran 97 peratus.

Mengulas mengenai operasi yang dijalankan hari ini, Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 10 buah kilang diperiksa membabitkan daerah Perak Tengah, Kampar dan Muallim.

"Satu kompaun dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja melibatkan majikan gagal memastikan jarak fizikal katil asrama pekerja lain.

"Empat individu dikompaun kerana gagal mencatat buku kehadiran atau imbas kod QR MySejahtera dan dua individi tidak memakai pelitup muka dengan sempurna," katanya.