SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyokong penuh tindakan seorang pegawai berpangkat inspektor yang tegas dalam menangani provokasi berkenaan isu durian di Raub, Pahang.
Menurut beliau, cara pegawai itu mengendalikan provokasi sedemikian sememangnya diharapkan ketika bertugas dalam situasi terbabit.
"Sebagai penguat kuasa undang-undang, kita (Polis Diraja Malaysia) mahu tindakan seperti itu. Tegas bagi memastikan undang-undang dipatuhi.
"Ada masyarakat yang suka maki hamun, mencela kepada polis. Tapi, kita tetap dengan pendirian bahawa kita tidak ada pilih kasih dalam undang-undang," katanya kepada kru Rasuah Busters Sinar Harian pada Rabu.
Tegas Acryl Sani, pihaknya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan orang ramai diingatkan tidak mengganggu tugas polis hingga boleh dikenakan tindakan.
"Mereka yang ganggu tugas polis boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Ini bukan tujuan untuk mengugut, tapi sebagai peringatan agar orang awam usah bertindak keterlaluan dalam menyuarakan pendapat. Kalau tidak puas hati, boleh hadir ke balai, buat laporan polis. Kita akan siasat," katanya.
Pada Selasa, tular di media sosial Facebook rakaman video seorang pegawai polis lelaki tegas dengan pendiriannya biar pun berdepan provokasi daripada seorang ahli politik dari Selangor yang dikatakan tidak berpuas hati berkenaan tindakan pihak berkuasa dalam kes durian di Raub, Pahang.
ARTIKEL BERKAITAN: Proses reman 18 pekebun durian musang king kecoh
Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan