SHAH ALAM - Pemuda Pas meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membelakangkan undang-undang dalam isu berkaitan pencerobohan tanah bagi penanaman pokok durian musang secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan beberapa wakil rakyat daripada DAP yang menghalang penguat kuasa untuk menjalankan tugas adalah perlakuan yang sangat biadab.
Menurutnya, ini kerana pencerobohan kawasan seluas 101 hektar itu secara jelas melanggar Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).
"Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek dan ADUN Tras yang biadab serta menghalang kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan.
"Tindakan kedua ADUN tersebut tidak menggambarkan perilaku sebagai seorang wakil rakyat.
Diharapkan tindakan undang-undang yang keras dikenakan agar menjadi pengajaran juga kepada orang lain.
"Suka Pemuda PAS mengingatkan semua pihak supaya menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dalam segala tindakan.
Sebarang tindakan yang tidak berlunaskan undang-undang tidak seharusnya dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia pada Rabu.
Pada Isnin, tular rakaman video kejadian yang menyaksikan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu bersama dua pemimpin lain menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan seorang anggota polis meminta orang ramai termasuk pemimpin politik keluar daripada kawasan mahkamah.
Kejadian berlaku ketika proses permohonan reman 18 pekebun durian musang king di pekarangan Mahkamah Raub.
Kesemua pekebun itu ditahan pada Ahad selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian musang king di HSK tersebut.
Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS berasa sangat jelek atas tindakan DAP mempolitikkan isu tersebut dan cuba menegakkan benang yang basah dengan menyerang dan mengganggu tugas penguat kuasa awam.
Katanya, DAP sepatutnya menyokong usaha kerajaan negeri Pahang yang cuba melindungi ekosistem HSK yang sudah diwartakan oleh kerajaan.
"Tindakan pekebun ini secara tidak langsung merosakkan flora dan fauna sekelilingnya. Pemuda PAS berpendapat DAP hanya cuba menjadi juara bagi membela kaum Cina dalam hal ini,” ujarnya.