PUTRAJAYA - Perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM), yang menyumbang 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, berada di ambang kejatuhan jika sekatan terhadap operasi perniagaan berterusan dalam tempoh yang tidak dapat ditentukan, menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Dalam kenyataan pada Rabu, MEDAC berkata, tinjauannya baru-baru ini menunjukkan kira-kira 580,000 perniagaan, mewakili 49 peratus daripada sektor PKSM, berisiko gagal menjelang Oktober ini jika mereka tidak dibenarkan beroperasi pada masa itu.
Kementerian menjangka penutupan perniagaan ini, yang kebanyakannya berada dalam kategori pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO), turut bermakna lebih tujuh juta rakyat Malaysia dijangka menganggur.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini adalah kebenaran yang perlu disuarakan mengenai situasi sukar yang dihadapi oleh PKSM tempatan dan keperluan segera untuk tampil dengan tindakan pemulihan yang tepat bagi mengatasi isu ini.
"Kegagalan untuk menyelesaikan perkara ini akan memberi impak buruk kepada landskap sosioekonomi negara, yang kemudiannya akan menjejaskan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat secara keseluruhannya,” katanya, sambil menambah 14 juta orang lagi akan terjejas oleh situasi dengan andaian setiap pekerja mempunyai purata dua tanggungan.
MEDAC telah menjalankan tinjauan dari 15 Jun hingga 28 Jun 2021 untuk mengukur impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap landskap keusahawanan di Malaysia.
Sebanyak 6,664 responden di seluruh negara menyertai tinjauan itu yang menunjukkan banyak perniagaan kini menghadapi sindrom ‘kelesuan perniagaan’ dan kemerosotan keyakinan akibat sekatan pergerakan.
Kira-kira satu pertiga daripada responden menyatakan bahawa mereka tidak menerima pelbagai bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan, menurut kenyataan itu.
Wan Junaidi menyatakan kebimbangannya bahawa banyak PKSM tidak akan ada untuk membantu membina semula ekonomi selepas perniagaan dibenarkan untuk dibuka.
"Saya juga bimbang bahawa kegagalan perniagaan PKSM ini disebabkan sekatan pergerakan yang berpanjangan akan mewujudkan kesan domino, menjejaskan masyarakat, membawa kepada impak sosial dan ekonomi yang lebih serius,” katanya.
Isu mental merupakan antara bidang yang menjadi kebimbangan yang didedahkan dalam tinjauan ini.
Tiga faktor utama yang menjejaskan keadaan kesihatan mental usahawan termasuklah penurunan dan kehilangan pendapatan, masalah hutang dan pembiayaan serta risiko penutupan perniagaan.
Wan Junaidi berkata, lebih 90 peratus daripada usahawan ini tidak mempunyai perlindungan insurans dan 70 peratus tidak mempunyai jaringan keselamatan untuk bergantung jika mereka kehilangan pekerjaan. - Bernama