Tidur dalam kereta: Baitulmal sedia bantuan rumah

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

LARUT - Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam proses menyediakan rumah untuk disewa tujuh beranak yang terpaksa tidur dalam kereta di belakang deretan bangunan kedai di Jalan Sri Permai, Selama di sini sejak seminggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, penyediaan bantuan rumah itu dibuat bersekali dengan kadar sewaan yang ditanggung sepenuhnya oleh Baitulmal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan keluarga itu dalam pengetahuan agensi berkenaan, namun berlaku sedikit masalah apabila hari-hari berikutnya, pasangan suami isteri dan lima anak itu tidak dapat dijejaki.

"Sebaik keadaan keluarga itu tular di WhatsApp, pegawai dan kakitangan Baitulmal telah menemui keluarga ini dan menyampaikan bantuan awal RM300.

Iklan

"Tindakan susulan seterusnya adalah mencari rumah sewa untuk didiami mereka, namun ketika proses itu sedang berlangsung, keluarga ini didapati tidak lagi berada di tempat itu, katanya pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, usaha menjejaki mereka dilakukan semua pihak termasuk kalangan keluarga, ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

Iklan

"Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) saya sendiri turut berusaha mengesan keluarga ini tetapi tidak berjaya sehingga diberitahu mereka ditempatkan sementara di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selama," katanya.

Menurutnya, beliau bagaimanapun berterima kasih atas keprihatinan semua pihak yang membantu memastikan nasib keluarga terbabit terbela.

Katanya, Baitulmal akan menemui keluarga itu dalam waktu terdekat ini bagi membincangkan bantuan-bantuan lain yang diperlukan terutama rumah.

"Kes mereka ini melibatkan salah faham keluarga dan kalau ikutkan masyarakat di sini berusaha keras untuk membantu. Kami ucap terima kasih dan tahniah atas keprihatinan mereka," katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri yang tidak mempunyai pilihan terpaksa membawa lima anak mereka masing-masing berusia 15, 13, 9, 8, dan 2 tahun berhimpit dan tidur dalam kereta sejak seminggu lalu.

Saliza Samat, 38, dan suami, Mohd Hazrul Haris, 43, membuat keputusan itu selepas keluar dari kediaman bapa mentua yang ditumpanginya di Kampung Ulu Mengkuang.

ARTIKEL BERKAITAN:Tujuh beranak berhimpit tidur dalam kereta