Phuket rekod kes jangkitan pertama pelancong asing

Iklan
Salah seorang pelancong antarabangsa yang tiba di bawah skim pelancongan 'Phuket Sandbox' di Lapangan Terbang Antarabangsa di Phuket pada 1 Julai lalu. - Foto AFP

BANGKOK - Phuket pada Rabu melaporkan kes jangkitan pertama Covid-19 dari luar negara selepas ia membuka semula pelancongan antarabangsa pada awal minggu lalu.

Ketua Pejabat Kesihatan Awam di pusat peranginan popular di Thailand itu, Koosak Kookiatkul berkata, individu itu merupakan pelancong warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tiba pada Selasa lalu di bawah skim pelancongan ‘Phuket Sandbox’.

Iklan
Iklan

"Dua kes positif telah disahkan. Salah seorang daripadanya ialah warga tempatan,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, individu yang menaiki pesawat bersama pesakit itu dan mereka yang terlibat mengendalikan kumpulan pelancong tersebut akan dihantar ke Pusat Kuarantin Alternatif Tempatan (ALQ) kerana dikhuatiri mereka adalah kontak rapat berisiko tinggi.

Iklan

Phuket membuka semula pusat peranginan terkenal itu kepada pelancong antarabangsa bermula 1 Julai lalu selepas penutupan selama lebih setahun.

Di bawah skim 'Phuket Sandbox' itu, pelancong asing tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib jika mereka sudah mendapatkan suntikan penuh dalam tempoh 14 hari sebelum tiba di Thailand selain ujian saringan menunjukkan keputusan negatif.

Iklan

Bagaimanapun, mereka perlu menetap di bilik hotel masing-masing sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 dan akan dipindahkan ke pusat jagaan kesihatan untuk rawatan selanjutnya jika didiagnos positif. - AFP