'Terima kasih polis...bantu saya sekeluarga'

Iklan
Meran (dua, kanan) menyampaikan kit makanan kepada Omar (kanan) ketika Operasi Bantuan di Kampung, Simpang Bekoh, Jasin, di sini, pada Rabu.

JASIN - Beberapa keluarga termasuk saudara baharu memeluk Islam terharu menerima kunjungan pasukan polis yang membantu mereka, pada Rabu.

Omar Abdullah, 33, yang bekerja sebagai penjual besi buruk misalnya, terharu didatangi wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Jasin, Asisten Superintendan Meran Anak Emai.

Iklan
Iklan

Omar berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pendapatannya terkesan kerana sebelum ini hanya memperoleh gaji harian dengan mengumpul barangan lusuh namun sejak awal Jun lalu dia tidak dapat bekerja sedangkan isterinya hanya suri rumah.

Menurutnya, mereka sekeluarga yang baharu setahun memeluk agama Islam menghargai setiap keprihatinan penduduk setempat dan pasukan polis yang datang menyantuni sekali gus menghulurkan sumbangan.

Iklan

"Saya sekeluarga amat menghargainya memandangkan pendapatan kini tak ada sedangkan sebagai ketua keluarga saya perlu pastikan ada makanan untuk isteri serta anak-anak di rumah.

"Apabila polis datang berikan bantuan makanan, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya," katanya yang mempunyai tiga orang anak yang berusia enam tahun dan sepasang kembar berusia empat tahun.

Iklan

Sementara itu, Rishidayu Mohd Shahi, 34, berkata, mereka sekeluarga hairan melihat van polis di hadapan rumah namun gembira apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memaklumkan kehadiran kumpulan polis itu adalah untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, dengan pendapatan RM700 sebulan sebagai tukang masak di sebuah madrasah, dia menyara lima orang anak berusia 16 hingga dua tahun manakala suaminya terpaksa bekerja sebagai tukang masak di Damansara, Selangor.

Katanya, biarpun pendapatannya hanya cukup-cukup makan, namun bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan.

"Bila polis datang, saya bukan sahaja terkejut dan gembira namun sekurang-kurangnya menjadikan saya seorang yang bersyukur kerana ada orang mahu membantu keluarga saya.

Pada masa sama mengajar saya menghargai pekerjaan yang masih saya miliki," katanya yang menyewa berdekatan madrasah itu.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Lubok Bandung, Rakesh Chiafongsin, 44,

sempat memikirkan apa kesalahan dilakukannya sehingga polis datang ke rumah namun lega apabila kehadiran pasukan beruniform itu adalah untuk memberikan sumbangan barangan makanan.

Ujarnya, mereka sekeluarga juga terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 kerana dia tidak dapat bekerja namun masih bernasib baik kerana kebetulan tinggal di kawasan kampung.

"Terima kasih polis kerana mengambil berat terhadap saya dan keluarga," katanya

Operasi bantuan yang turut disertai Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Jasin, Mohd Shuib Md Jadi mengunjungi 10 buah rumah termasuk di Selandar, Nyalas, Simpang Bekoh, Asahan, Selandar, Sungai Rambai dan Merlimau.