PASANGAN beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yakin mereka mampu menangani tekanan bagi mengharungi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menurut Peng Soon, 33, keyakinan itu juga diharap dapat membantu merealisasikan misi untuk membawa pulang sebarang pingat buat kontinjen negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.
"Kami yakin boleh menangani tekanan pada Olimpik kali ini kerana tekanannya agak berbeza berbanding dengan tekanan yang dirasai ketika Sukan Olimpik Rio 2016 lalu.
"Ini disebabkan kita tahu ketika ini tidak banyak kejohanan yang dianjurkan di seluruh dunia dan ini menggambarkan persiapan pesaing-pesaing kita juga tidak jauh berbeza dengan kita, mungkin lebih satu atau dua kejohanan sahaja.
"Apa pun, kami akan cuba memberikan yang terbaik dalam usaha membawa pulang pingat buat negara kali ini,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada baru-baru ini.
Untuk rekod, pasangan profesional negara itu sekadar meraih pingat perak apabila tewas straight-set 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir.
Tambah Peng Soon, biarpun pasangan Indonesia berkenaan tidak bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun dia serta Liu Ying tetap berazam untuk menebus kekalahan berkenaan kali ini.
"Kami difahamkan, Tontowi dan Liliyana tidak ada dalam skuad badminton Indonesia kali ini, namun kami tetap cuba memberikan yang terbaik untuk menebus kekalahan kami di Rio 2016 lalu.
"Bagaimanapun, dalam masa sama kami tidak mahu memberikan tekanan kepada diri kami sendiri kerana kami juga perlu melihat lawan yang akan kami hadapi kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, pasangan beregu Peng Soon, Liu Ying menyifatkan tanggungjawab selaku pembawa bendera negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya sebagai pemain badminton.
Menurut pemain kelahiran Melaka berusia 31 tahun itu, tanggungjawab berkenaan turut dilihat sebagai motivasi terbaik buatnya untuk beraksi cemerlang pada temasya sukan terbesar dunia itu.
"Saya tidak pernah diberikan tanggungjawab ‘besar’ seperti ini, tetapi saya melihatnya sebagai satu motivasi terbaik untuk saya beraksi dengan baik pada Olimpik kali ini,” katanya.
Sementara itu, Liu Ying berkata, masih belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung berita yang mengatakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah penampilan terakhirnya bersama skuad badminton negara, di pentas Olimpik.
"Saya sendiri tidak pasti apakah kali ini adalah penampilan terakhir saya. Yang penting kita mahu menyertai dahulu (Sukan Olimpik Tokyo 2020) dan kemudian barulah memikirkan mengenai perkara ini,” katanya.