RM8.3 bilion hutang peneroka Felda dilupus

Iklan
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.

"Saya berbesar hati mengumumkan bahawa secara dasarnya, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah ini dijayakan.

Iklan
Iklan

"Ia merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka (iaitu meliputi 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 warga peneroka); pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46 peratus warga peneroka).

"Seterusnya pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021 bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34 peratus warga peneroka); dan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM56 juta yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6 peratus warga peneroka,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya pada Rabu.

Iklan

Muhyiddin berkata, menerusi inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

Tambah beliau, purata bayaran balik pinjaman juga dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

Iklan

Pada masa sama, beliau berkata, selari dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0, Felda telah mula melaksanakan sistem pertanian pintar bagi menguruskan 458 ribu hektar ladang Felda dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu atau precision agriculture.

Katanya, sistem itu mampu menambah baik operasi perladangan menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat lebih terperinci dan menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam masa lima tahun.

Perdana Menteri berkata, beliau teruja dengan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dirangka khusus untuk menggalakkan warga Felda menceburi bidang keusahawanan.

"Saya yakin program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada kitaran harga komoditi serta dapat mempelbagaikan sumber pendapatan warga Felda sejajar dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Dengan memiliki bank tanah pertanian yang luas, adaptasi kemahiran dalam pertanian pintar serta inisiatif Program Pembangunan Peneroka yang diperkenalkan, saya percaya Felda berada di posisi terbaik untuk menjadi peneraju utama sektor pengeluaran makanan negara dalam tempoh dekad ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga percaya, setelah 65 tahun penubuhan Felda, warganya sudah cukup matang dan bersedia untuk menabur budi dengan menyumbang kepada masyarakat seluruhnya.

"Kita boleh berbangga apabila inisiatif ‘sedekah’ yang digerakkan oleh warga peneroka di seluruh negara berjaya mengumpulkan sehingga RM10 juta setakat ini.

"Jumlah sedekah bukanlah yang menjadi ukuran, sebaliknya yang lebih penting adalah kesedaran dan kesediaan untuk mengorbankan sedikit harta dan pendapatan bagi membantu mereka yang memerlukan,” kata Perdana Menteri.