Southgate mula risau ancaman Itali

Iklan
SOUTHGATE

PENGENDALI England, Gareth Southgate sudah mula membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi pasukannya dalam perlawanan akhir Euro menentang Itali pada 12 Julai ini.

Menurut Southgate, pasukan The Three Lions yang menewaskan Denmark 2-1 dalam aksi separuh akhir pada awal pagi Khamis perlu melakukan persiapan rapi untuk menentang pasukan Itali yang dinilai lebih berkualiti.

Iklan
Iklan

"Kami telah mara ke final dan kami layak untuk bergembira dengan kejayaan ini apatah lagi ia diperolehi dengan pengorbanan yang besar oleh kesemua pemain.

"Tetapi, kami perlu sedar bahawa ada satu lagi cabaran yang lebih besar perlu dihadapi. Itali merupakan sebuah pasukan yang bagus dan mereka telah menunjukkan persembahan luar biasa mereka untuk layak.

Iklan

"Tiada siapa boleh nafikan kekuatan mereka di benteng pertahanan dan ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik untuk kami hadapi," katanya.

Dalam aksi separuh akhir itu, Denmark terlebih dahulu mengejutkan England menerusi gol daripada sepakan percuma Mikel Damsgaard pada minit ke-30 sebelum gol sendiri pemain pertahanan, Simon Kjaer sembilan minit berselang memberikan gol penyamaan kepada The Three Lions.

Iklan

Harry Kane muncul wira England dengan menjaringkan gol kemenangan susulan sepakan penaltinya yang ditampan Kasper Schmeichel pada minit ke-104 untuk membawa England ke final Euro buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negara itu.

Dalam pada itu, Southgate mengakui berbangga dengan pencapaian yang dilakar para pemainnya itu yang berjaya merealisasikan hasrat dan harapan penyokong yang mahu melihat pasukan itu layak ke final.

"Saya sangat bangga dengan pemain. Ini adalah sesuatu yang luar biasa untuk menjadi sebahagian daripada pasukan dan penyokong juga sangat luar biasa pada malam ini. Namun, ia bukan mudah untuk sampai ke tahap ini.

"Apabila anda menunggu lama untuk mara ke final selain pengalaman beberapa pemain dalam pasukan yang kurang di pentas antarabangsa, bagi saya mereka telah tunjukkan satu persembahan luar biasa.

"Perkara yang paling menggembirakan ialah kami telah memberikan malam yang hebat kepada peminat dan negara kami. Kami pernah menderita di Moscow pada malam seperti ini (ketika menentang Croatia di perlawanan separuh akhir Piala Dunia pada 2018), kami berjaya memperbaikinya," katanya.