Kedah mohon buka semula 73 PIK bantu PdPR: Exco

Iklan
gambar hiasan - Foto 123RF

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memohon supaya Pusat Internet Komuniti (PIK) di setiap daerah dibuka semula bagi membantu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), khususnya untuk pelajar kurang berkemampuan yang tinggal di luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, terdapat 73 PIK di negeri ini yang harus diberi pertimbangan agar dapat beroperasi semula bagi membolehkan pelajar-pelajar berkaitan memperoleh capaian Internet dengan mudah.

Iklan
Iklan

"Dalam mesyuarat Exco (semalam), saya mohon agar Majlis Keselamatan Negeri (MKN) mempertimbangkan isu ini, agar pusat Internet dapat dibuka semula bagi mempermudahkan pelajar mengikuti PdPR," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan daripada MKN memandangkan dalam tempoh pandemik ini, prosedur operasi standard (SOP) khusus perlu ditetapkan jika PIK beroperasi semula.

Iklan

Wan Romani berkata, jika PIK beroperasi dengan baik, ia bukan sahaja dapat membantu pelajar, malah golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di luar bandar juga dapat memanfaatkannya untuk memperkembangkan perusahaan mereka.

"Para usahawan kecil boleh menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di pusat ini bagi menjana pendapatan yang lumayan dengan menjalankan perniagaan secara dalam talian," katanya. - Bernama

Iklan