BUKIT MERTAJAM- Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memberi amaran tegas tidak akan berkompromi dengan pesalah yang yang gagal membayar kompaun tempat letak kereta yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan itu.
Yang Dipertuanya, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pihaknya memandang serius perbuatan melanggar undang-undang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dan mahu memastikan masyarakat di Seberang Perai tidak mengambil sikap sambil lewa atas kesalahan yang mereka lakukan.
Menurutnya, selama ini ramai yang beranggapan institusi penguatkuasaan MPSP tidak serius dalam mengambil tindakan dan merasakan tiada tindakan yang dapat diambil terhadap mereka atas kesalahan yang dilakukan.
"Kes pelanggaran undang-undang sering kali kita dengar dan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
"Pelanggaran undang-undang menjadi trend dan perasaan tidak bersalah tidak pernah timbul di ruang pemikiran pesalah-pesalah tegar. MPSP telah memberi tempoh dan peluang yang sewajarnya kepada mereka (pesalah) tetapi setiap peluang yang diberi diambil mudah," katanya pada sidang media di sini pagi tadi.
Rozali berkata, setakat ini lebih 2,000 kes kompaun letak kereta tidak berbayar telah dimajukan ke Jabatan Undang-Undang untuk dihadapkan ke mahkamah.
Katanya, sejak September 2018 sehingga 22 Februari 2019, sebanyak 59 buah kenderaan telah ditunda oleh MPSP atas kesalahan mempunyai 10 kompaun tertunggak dan pihaknya akan mempergiatkan lagi memburu mereka yang melakukan kesalahan ini.
"Mereka dikehendaki membayar caj tundaan sebanyak RM100 selain menjelaskan semua kompaun yang tertunggak sebelum dibenarkan membawa pulang kenderaan mereka.
"Tindakan yang lebih tegas akan menyusul dan diharapkan ia akan memberi kesedaran kepada pesalah-pesalah tegar agar tidak mengambil mudah atas tindakan kompaun yang dikeluarkan oleh MPSP," katanya.
Beliau berkata, bagi setiap kesalahan letak kereta, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM300 dan MPSP akan menetapkan KPI 300 kes seminggu untuk membawa pesalah ke mahkamah.
"Tindakan kunci tayar di dalam petak juga kan dijalankan bagi pesalah-pesalah tegar dan tuntutan kenderaan hendaklah dilakukan di MPSP dengan syarat kompaun tertunggak diselesaikan terlebih dahulu dan caj RM50 dikenakan untuk membuka kunci tayar,"katanya.