PLATFORM langganan gaya hidup, SUBPLACE dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama melancarkan kempen Go-eCommerce Onboarding untuk menggalakkan lebih banyak peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menjalankan perniagaan dalam talian.
Kempen itu memberi bantuan untuk menanggung kos pendigitalan perniagaan PKS yang terjejas dengan pelaksanaan Kawalan Pergerakan yang berterusan dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.
"Inisiatif ini juga selari dengan sasaran kerajaan untuk memacu aktiviti perniagaan dalam talian di seluruh negara dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” menurut SUBPLACE dalam kenyataan pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mak Wai Hoong berkata, menerusi kempen Go-eCommerce Onboarding, ia diharap dapat membantu PKS untuk mengalih cara perniagaan mereka kepada model perniagaan langganan berkala dalam mengharungi tempoh yang sukar ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri pula berkata, MDEC terus komited untuk membantu perniagaan tempatan mengharungi tempoh yang sukar ini, dan pada masa yang sama akan terus berkembang.
"Dengan sokongan daripada kerajaan dan kerjasama awam-swasta yang berkesan, kami menyasarkan untuk memangkinkan pertumbuhan perusahaan e-dagang di Malaysia, di samping mengekalkan pekerjaan dan punca pencarian,” katanya.
Melalui kempen itu, setiap PKS akan ditawarkan 100 peratus pengecualian bayaran pendaftaran bernilai RM1,000, subsidi sebanyak RM1,500 untuk setiap PKS bagi pakej premium -- termasuk latihan tahunan, sokongan teknikal, serta penyelenggaraan bulanan dan dua peratus diskaun ke atas yuran transaksi kepada semua rakan Biz sedia ada dan baharu.
Permohonan kempen Go-eCommerce Onboarding terbuka kepada semua perniagaan tempatan dan PKS yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Kempen Go-eCommerce Onboarding bermula pada 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2021. - Bernama