Penjaja rojak dikompaun berniaga di lampu isyarat dibantu

Iklan
Hanyan menyerahkan sumbangan kepada penjaja rojak di kediamannya di Chukai, Kemaman - Foto ihsan IPD Kemaman

KEMAMAN - Penjaja rojak yang dikompaun RM2,000 kerana didapati berniaga tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) di lampu isyarat Kemasik - Air Jerneh di sini pada Ahad mendapat perhatian beberapa pihak yang prihatin.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan berniaga di lokasi tersebut pada jam 2.15 petang pada operasi Op Patuh tanpa mengikut SOP ditetapkan di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 2021.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, selepas tindakan kompaun yang dikeluarkan terhadap bapa kepada dua anak itu ditularkan di media sosial dan mendapat liputan di media, diakui memang banyak maklum balas diterima termasuk juga yang negatif.

Menurut beliau, pihaknya mengambil tindakan itu bagi memberi pengajaran dan pendidikan kepada penjaja lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

Iklan

"Orang ramai yang ingin berniaga dinasihatkan buat dengan cara betul seperti membuka gerai di tepi jalan serta patuhi SOP dengan menyediakan QR Code MySejahtera dan bukannya berdiri di tengah jalan yang membahayakan diri sendiri termasuk pengguna jalan raya lain.

"Dengan menyediakan QR Code MySejahtera, jika ada dalam kalangan pembeli pembawa Covid-19, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengesan dan mengambil tindakan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP: Penjaja rojak dikompaun berniaga di lampu isyarat

Hanyan berkata, sempena Operasi Bantu (Op Bantu) pada Rabu, pihaknya juga memilih keluarga penjaja tersebut untuk menerima bantuan makanan yang disalurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ketika ditemui di rumahnya di Chukai di sini, dia memberitahu terpaksa mengambil tindakan itu kerana hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dibuang kerja di sebuah syarikat di Klang, Selangor pada awal tahun.

Sumbangan khemah kepada penjaja rojak terbabit agar dia dapat berniaga dengan lebih baik mengikut SOP. - Foto ihsan IPD Kemaman

"Kami turut difahamkan ada pihak berusaha untuk membuat rayuan mendapat pengurangan kompaun selain menawarkan untuk membantu menjelaskan kompaun tersebut," katanya.

Katanya, selain kotak makanan, penjaja itu turut menerima sebuah khemah niaga, meja dan pengimbas suhu sebagai galakan untuk terus berniaga.

"Pihak kami juga dalam usaha untuk membuat permohonan baharu permit penjaja kecil dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mematuhi syarat yang ada," katanya.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, penjaja itu juga mendakwa rumah sewa didiami bersama isteri, 31, dan dua anak masing-masing berusia empat dan lapan tahun dengan kadar bayaran sewa RM400 sebulan masih tertunggak selama lima bulan.